Ikut Hati Anda

Entries tagged as ‘Taksub’

Menolak Artikel Gejala Taksub Kepada Dr Mohd Asri

September 18, 2008 · 1 Komen

Baru-baru ini, laman al-ahkam.net menyiarkan sebuah artikel bertajuk Gejala Taksub Kepada Dr Mohd Asri (MAZA) ? yang diambil daripada sebuah laman web parti politik di negara ini. Artikel ini telah mendapat reaksi yang pelbagai daripada ahli-ahli forum. Saya tidak mahu memberi komen di forum berkenaan kerana rasanya padangan saya tidak selari dengan beberapa panel fiqh di situ. Di bawah ialah sedikit daripada isi kandungan artikel berkenaan yang saya agak kurang senang membacanya, beliau menyebut

Tokoh seperti Dr Mohd Asri Zainul Abidin lebih dikenali sebagai tokoh fardhi (individu) bukan jamaie (kumpulan) ini disebabkan kononnya fahaman salaf itu tidak boleh berorganisasi disebabkan pendapat sesetengah mereka yang termakan ubat bius kejahilan yang menganggap ianya bid’ah.

Disebabkan berorganisasi itu bid’ah maka kefahaman salafi yang dibius ini menganggap salafi mesti bergerak sebagai individu dan berjalannya kefahaman salafi itu mesti dengan bekerjasama dengan pihak pemerintah yang sekalipun zalim dan mencapai tahap taghut.

Di tempat lain pula beliau menyebut,

Seruan kepada peribadi seperti mengajak para pemuda dan pemudi meminati Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebagai langkah berdakwah konon untuk mendekatkan para pemuda kepada jalan salaf soleh bukanlah cara yang baik dan tepat. Sebaliknya membawa para pemuda terus mendekati isi kandungan dakwah melalui contoh teladan dan juga isi dasar kandungan kitab dan sunnah itulah yang terbaik.

Mengikuti Dr Mohd Asri tidak menjamin apa-apa keselamatan di sisi Allah swt sebaliknya mengikuti kebenaran yang dibawa oleh para ulama termasuk apa-apa yang benar yang dibawa oleh Dr Mohd Asri itulah yang dapat membawa kepada keselamatan di dunia dan di akhirat.

Rujukan asal artikel: pemudapasseremban.net

Artikel di atas seakan-akan mempunyai niat yang baik, malangnya tulisannya bercampur-baur dengan beberapa tuduhan yang tidak sepatutnya, malah penulis seakan-akan menyeru umat Islam supaya mengikuti jema’ah politik yang dianutinya pula.

Saya yakin, sekiranya seorang murid/ pengikut Dr Mohd Asri menulis sebuah artikel bertajuk Gejala Taksub kepada Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz pastinya akan mendapat tentangan yang cukup hebat daripada pengikut-pengikut mursyidul am itu, malah mungkin daripada penulis artikel berkenaan.

Sekiranya kita ikhlas hendak menasihati umat Islam untuk tidak taksub kepada seseorang tokoh ulama, sebaiknya tidak perlu disebut namanya malah tidak perlu diletakkan namanya sebagai tajuk utama. Ironinya pengikut TG Hj Nik Abd Aziz lebih ramai jumlahnya daripada peminat Mufti Perlis itu, tetapi tiada siapa pula yang bimbang atau khuatir akan terjadinya taksub kepada Mursyidul Am PAS itu. Apakah mungkin hal itu dibenarkan keranan tokoh ulama’ berkenaan berada di dalam jema’ah yang diredhai penulis (artikel) ?

Kategori: Islam · semasa
Tagged: , , , ,