Ikut Hati Anda

Entries tagged as ‘cinta’

Mawar Berduri Vs AAC

Mei 13, 2009 · Tinggalkan Komen

mawar vs cinta

Lenguh rasanya tengkuk saya malam tadi kerana tekun membaca novel Seindah Mawar Berduri, karangan Puan Fatimah Syarha, penulis pujaan pelajar IPT masa kini sehingga wujud sebilangan kecil daripada mereka yang tiba-tiba menjadi taksub kepada penulis ini lalu menolak, mengritik dan sehingga menghina novel karangan penulis Islami lain. Tambah mengejutkan saya lagi kerana juga individu muslim yang sanggup menuduh novel Ayat-Ayat Cinta membawa mesej Islam Liberal?!

Lalu akhirnya saya terpaksalah membeli sendiri novel beliau yang bertajuk Seindah Mawar Berduri kerana saya ingin tahu sendiri apa kah keistimewaan novel karangan beliau sehingga menjadikan sebilangan kecil para pelajar universiti yang bermanhaj salafi tiba-tiba menjadi jumud pemikiran mereka di dalam hal remeh seperti ini.

Setelah selesai menghabiskan beberapa bab penting (sebab saya tiada masa hendak membaca semua bab) saya akhirnya senyum sendirian. Saya kemudian tertanya-tanya, apakah sebenarnya perbezaan besar di antara novel Seindah Mawar Berduri dengan Ayat-ayat cinta? Yang saya jumpa ialah matlamat dakwah kedua-dua penulis novel berkenaan yang cuba menonjolkan keindahan Islam dan dunia perhubungan lelaki dan wanita yang suci dari pencemaran budaya kebaratan yang penuh maksiat.

Tambah menarik lagi, oleh sebab penulis Mawar Berduri ialah seorang wanita, sedangkan Ayat-ayat Cinta ditulis oleh seorang lelaki, maka saya ketawa di dalam hati kerana perbezaan perasaan dan gender yang digambarkan di dalam cerita mereka berdua.

Yang terus membuatkan saya tidak henti tersenyum sampai ke telinga walaupun ketika sedang menulis artikel ini lagi ialah bagaimana ironiknya olahan jalan cerita kedua-dua novel berkenaan. Di dalam novel Mawar Berduri, watak utamanya Khazinatul Asrar digilai oleh beberapa orang lelaki sedangkan di dalam novel Ayat-ayat cinta, watak utamanya Fahri digilai pula oleh beberapa orang wanita. Ironik!

Sekali lagi saya ulang, walaupun jalan cerita kedua-dua novel berbeza, tetapi matlamat dan mesejnya sama. Maka saya berasa hairan mengapa tiba-tiba sahaja bangkit sebilangan pemuda yang mengkritik hasil karya penulis lain hanya kerana mereka telah menjadi taksub dengan karya orang lain pula. Apakah ini jenis taksub pesen baru?

Akhir sekali, saya do’akan agar Allah s.w.t merahmati dan memberkati usaha kedua-dua penulis novel berkenaan, dan semoga mereka terus berjaya di dalam usaha mereka menawan golongan pemuda dan pemudi agar mereka hanyut dengan keindahan Islam dan caranya daripa keindahan dunia yang banyak menipu.

Kategori: Islam · buku · semasa
Tagged: , ,

cinta :lawan jangan, layan pun jangan (versi dewasa)

Mei 22, 2008 · 2 komen

Ust Hasrizal menulis di dalam blognya

Sesungguhnya kaedah terbaik untuk melupakan cinta, ialah dengan menyibukkan diri dengan hal-hal lain yang lebih sesuai dengan masanya.

Di dalam artikel asalnya, beliau sebenarnya mengulas mengenai cinta di kalangan para pelajar. Melihat betapa relevannya tajuk ini, saya merasakan skopnya perlu diluaskan kepada cinta di kalangan pekerja (dewasa) di ofis. Saya tidak maksudkan kepada mereka yang masih bujang, tetapi dikalangan yang sudah berkahwin dan beranak-pinak.

Mungkin disebabkan masa yang lebih banyak diperuntukkan di pejabat berbanding di rumah, maka wujudnya cinta secara tidak langsung dikalangan para pekerja di ofis atau tempat mereka bekerja. Di tambah lagi apabila mereka ini menghadapi masalah rumah tangga yang selalunya berpunca daripada salah-faham dan kurangnya komunikasi yang efektif. Jalan penyelesaian yang mudah ialah seperti kata ustaz hasrizal

Sesungguhnya kaedah terbaik untuk melupakan cinta, ialah dengan menyibukkan diri dengan hal-hal lain yang lebih sesuai dengan masanya.

Sekiranya anda memang sudah tidak ada kerja lagi yang hendak dibuat, maka mungkin anda boleh ringan-ringankan tulang anda dengan membantu rakan sekerja anda yang lain. Dengan cara ini, anda bukan sahaja menambahkan pahala, malah dapat mempereratkan lagi ikatan persahabatan di kalangan rakan sekerja anda.

Kategori: family · semasa
Tagged: , ,