
Lenguh rasanya tengkuk saya malam tadi kerana tekun membaca novel Seindah Mawar Berduri, karangan Puan Fatimah Syarha, penulis pujaan pelajar IPT masa kini sehingga wujud sebilangan kecil daripada mereka yang tiba-tiba menjadi taksub kepada penulis ini lalu menolak, mengritik dan sehingga menghina novel karangan penulis Islami lain. Tambah mengejutkan saya lagi kerana juga individu muslim yang sanggup menuduh novel Ayat-Ayat Cinta membawa mesej Islam Liberal?!
Lalu akhirnya saya terpaksalah membeli sendiri novel beliau yang bertajuk Seindah Mawar Berduri kerana saya ingin tahu sendiri apa kah keistimewaan novel karangan beliau sehingga menjadikan sebilangan kecil para pelajar universiti yang bermanhaj salafi tiba-tiba menjadi jumud pemikiran mereka di dalam hal remeh seperti ini.
Setelah selesai menghabiskan beberapa bab penting (sebab saya tiada masa hendak membaca semua bab) saya akhirnya senyum sendirian. Saya kemudian tertanya-tanya, apakah sebenarnya perbezaan besar di antara novel Seindah Mawar Berduri dengan Ayat-ayat cinta? Yang saya jumpa ialah matlamat dakwah kedua-dua penulis novel berkenaan yang cuba menonjolkan keindahan Islam dan dunia perhubungan lelaki dan wanita yang suci dari pencemaran budaya kebaratan yang penuh maksiat.
Tambah menarik lagi, oleh sebab penulis Mawar Berduri ialah seorang wanita, sedangkan Ayat-ayat Cinta ditulis oleh seorang lelaki, maka saya ketawa di dalam hati kerana perbezaan perasaan dan gender yang digambarkan di dalam cerita mereka berdua.
Yang terus membuatkan saya tidak henti tersenyum sampai ke telinga walaupun ketika sedang menulis artikel ini lagi ialah bagaimana ironiknya olahan jalan cerita kedua-dua novel berkenaan. Di dalam novel Mawar Berduri, watak utamanya Khazinatul Asrar digilai oleh beberapa orang lelaki sedangkan di dalam novel Ayat-ayat cinta, watak utamanya Fahri digilai pula oleh beberapa orang wanita. Ironik!
Sekali lagi saya ulang, walaupun jalan cerita kedua-dua novel berbeza, tetapi matlamat dan mesejnya sama. Maka saya berasa hairan mengapa tiba-tiba sahaja bangkit sebilangan pemuda yang mengkritik hasil karya penulis lain hanya kerana mereka telah menjadi taksub dengan karya orang lain pula. Apakah ini jenis taksub pesen baru?
Akhir sekali, saya do’akan agar Allah s.w.t merahmati dan memberkati usaha kedua-dua penulis novel berkenaan, dan semoga mereka terus berjaya di dalam usaha mereka menawan golongan pemuda dan pemudi agar mereka hanyut dengan keindahan Islam dan caranya daripa keindahan dunia yang banyak menipu.




