
Saya bukanlah peminat Manchaster United, dan saya pun dah lama tidak mengikuti perkembangan EPL. Cuma saya rasa semak dengan persoalan yang berkaitan dengan lambang Red Devil pada logo MU. Pada pandangan saya Umat Islam sekarang ini terlalu banyak mengambil kira hal remeh-temeh seperti ini sehingga menyusahkan diri sendiri dan orang sekeliling. Paling tidak seronok, apabila kita dengar pula bermacam-macam andaian asal logo ini dan hal ini sama seperti Nike, Pokemon dan produk lain yang semangsa dengannya akibat kejahilan sesetengah Umat Islam.
Saya suka untuk memetik kata-kata Ustaz Adlan, panel Hadis di al-Fikrah.net di mana beliau telah menjawab,
1- PERSOALAN: Sabitkah daripada nas tentang rupa syaytan? –> TIDAK!!!
2- PERSOALAN: Benarkah itu rupa syaytan? –> TIDAK DIKETAHUI!!!
3- PERSOALAN: Perlukah ditafsir semua dengan huruf `Arab? (seperti tulisan Allah, Muhammad, …) Ada yang tidak relevan langsung!!!
4- `Aqidah tidak berkaitan dengan baju yang dipakai.
5- `Aqidah tidak terjejas dengan sesuatu yang samar/ kabur atau tidak diketahui.

Ironinya, saya belum jumpa ada orang yang mempersoalkan maskot FreeBSD. Mungkin juga sebab hal ini tiada kaitan dengan kewangan (open source -> free), iaitu tidak melibatkan kepentingan/ kerugian terhadap mana-mana pihak. Sedangkan persoalan MU mungkin juga dicetuskan oleh pemnyokong kelab lain yang berasa dengki dengan MU.

Di atas sikap yang sama juga lah maka nasib malang telah menimpa kartun Pokemon. Oleh sebab tukang karut bodoh yang telah menyemakkan email pengguna muslim dengan makna Pokemon dengan maksud tuhan di dalam sebuah bahasa yang tidak popular, maka hal ini telah di bawa ke meja fatwa ulama. Keputusannya, kartun Pokemon telah diharamkan dengan beberapa alasan yang tidak munasabah. Mungkin ramai yang tidak bersetuju, sebab antara ulama yang mengeluarkan fatwa sedemikian ialah Dr Yusuf al-Qaradhawi. Saya tetap menghormati beliau, sebab buku-buku dan himpunan fatwanya adalah yang paling banyak di almari buku saya, walaubagaimanapun di dalam hal ini saya tidak bersetuju dengan beliau. Bukan sebab saya meminati kartun pokemon, tetapi sebab punca sebenar fatwa ini dikeluarkan dan saya amat yakin fatwa ini dikeluarkan tanpa merujuk kepada ahli di dalam bidang yang dilibatkan - hal ini boleh dilihat kepada hujjah-hujjah yang telah diberikan.




