Ikut Hati Anda

Entries from Mei 2009

Blog baru untuk pelajar bahasa ‘arab

Mei 25, 2009 · 1 Komen

Buku rujukan utama saya

Ketika saya mempelajari bahasa ‘arab dengan Xifu Nasser (seorang pensyarah di UIA) , beliau telah membawakan banyak bahan-bahan bacaan klasik karangan ulama’ dahulu untuk latihan. Disamping itu, beliau juga telah sediakan terjemahan untuk beberapa perkataan untuk memudahkan kami para pelajar. Nasihat beliau, agar kami memperbanyakkan membaca karangan-karangan ulama’ dahulu kerana ternyata memang sukar, dan itulah yang terbaik. Biarlah bersusah-susah dahulu, dan bersenang-senang kemudian. Lagipun matlamat utama mempelajari bahasa ‘arab ialah untuk membolehkan kami membaca kitab-kitab ‘arab lama.

Oleh itu saya telah menggunakan kaedah Xifu Naseer dengan membina sebuah blog khusus untuk latihan pembacaan ‘arab untuk membantu mereka yang berminat mendalami bahasa ‘arab, insyaAllah Moga ada manfa’at.

http://arabic4read.blogspot.com/

(Ma’af , blog ini ditulis di dalam bahasa Inggeris)

Kategori: Islam
Tagged:

Mawar Berduri Vs AAC

Mei 13, 2009 · Tinggalkan Komen

mawar vs cinta

Lenguh rasanya tengkuk saya malam tadi kerana tekun membaca novel Seindah Mawar Berduri, karangan Puan Fatimah Syarha, penulis pujaan pelajar IPT masa kini sehingga wujud sebilangan kecil daripada mereka yang tiba-tiba menjadi taksub kepada penulis ini lalu menolak, mengritik dan sehingga menghina novel karangan penulis Islami lain. Tambah mengejutkan saya lagi kerana juga individu muslim yang sanggup menuduh novel Ayat-Ayat Cinta membawa mesej Islam Liberal?!

Lalu akhirnya saya terpaksalah membeli sendiri novel beliau yang bertajuk Seindah Mawar Berduri kerana saya ingin tahu sendiri apa kah keistimewaan novel karangan beliau sehingga menjadikan sebilangan kecil para pelajar universiti yang bermanhaj salafi tiba-tiba menjadi jumud pemikiran mereka di dalam hal remeh seperti ini.

Setelah selesai menghabiskan beberapa bab penting (sebab saya tiada masa hendak membaca semua bab) saya akhirnya senyum sendirian. Saya kemudian tertanya-tanya, apakah sebenarnya perbezaan besar di antara novel Seindah Mawar Berduri dengan Ayat-ayat cinta? Yang saya jumpa ialah matlamat dakwah kedua-dua penulis novel berkenaan yang cuba menonjolkan keindahan Islam dan dunia perhubungan lelaki dan wanita yang suci dari pencemaran budaya kebaratan yang penuh maksiat.

Tambah menarik lagi, oleh sebab penulis Mawar Berduri ialah seorang wanita, sedangkan Ayat-ayat Cinta ditulis oleh seorang lelaki, maka saya ketawa di dalam hati kerana perbezaan perasaan dan gender yang digambarkan di dalam cerita mereka berdua.

Yang terus membuatkan saya tidak henti tersenyum sampai ke telinga walaupun ketika sedang menulis artikel ini lagi ialah bagaimana ironiknya olahan jalan cerita kedua-dua novel berkenaan. Di dalam novel Mawar Berduri, watak utamanya Khazinatul Asrar digilai oleh beberapa orang lelaki sedangkan di dalam novel Ayat-ayat cinta, watak utamanya Fahri digilai pula oleh beberapa orang wanita. Ironik!

Sekali lagi saya ulang, walaupun jalan cerita kedua-dua novel berbeza, tetapi matlamat dan mesejnya sama. Maka saya berasa hairan mengapa tiba-tiba sahaja bangkit sebilangan pemuda yang mengkritik hasil karya penulis lain hanya kerana mereka telah menjadi taksub dengan karya orang lain pula. Apakah ini jenis taksub pesen baru?

Akhir sekali, saya do’akan agar Allah s.w.t merahmati dan memberkati usaha kedua-dua penulis novel berkenaan, dan semoga mereka terus berjaya di dalam usaha mereka menawan golongan pemuda dan pemudi agar mereka hanyut dengan keindahan Islam dan caranya daripa keindahan dunia yang banyak menipu.

Kategori: Islam · buku · semasa
Tagged: , ,

Buang masa bahas kelayakan antara ulama atau professional

Mei 11, 2009 · 2 komen

Saya menyokong penuh tulisan Dr Mohd Asri di dalam kolum tetapnya yang antaranya menyebut

Saya berpendapat perbahasan; samada ulama atau professional yang layak menjadi ketua negara hanya membazirkan waktu. Apa yang penting kita hendaklah jelas; apakah yang kita kehendaki daripada pemerintahan dan politik? Yang menjadi tanggungjawab politik islami adalah keadilan dan kesejahteraan yang berdasarkan petunjuk wahyu.

Dalam melaksanakan maksud ini, hasrat seseorang pemerintah yang dibantu oleh ilmu pengetahuan adalah penting. Jika dia ulama yang mahir dalam politik serta mempunyai ketangkasan siasah, tentulah itu yang terbaik. Jika dia seorang ahli politik yang mahir sekalipun tidak ulama, dia boleh dibantu oleh para ulama yang mendokong hasratnya. Apatah lagi kita kini dalam kerangka negara moden yang lebih teratur dan tersusun dibanding negara pada zaman buku-buku klasik politik Islami itu ditulis.

Apa yang menjadi masalah adalah jika seseorang jahil atau tidak mahir pentadbiran dan siyasah tetapi ingin memerintah. Sekalipun dia memakai gelaran ‘ulama’ ataupun professional. Justeru itu, Nabi s.a.w bersabda kepada sahabah baginda yang soleh dan warak Abu Zar al-Ghifari :

“Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya.” (Riwayat Muslim).

Namun Khalid bin al-Walid r.a. sekalipun Nabi s.a.w. pernah menegur dan membantah beberapa tindakannya yang melanggar disiplin peperangan yang digariskan oleh baginda, tetap baginda pilih mengepalai tentera Islam dan menggelarnya sebagai pedang Allah. Ini kerana kemampuan yang dimiliki Khalid tidak dimiliki oleh sahabat-sahabat lain, sekalipun mereka lebih berilmu dan dekat dengan Nabi s.a.w dibandingkan Khalid.

Rujuk: http://drmaza.com/home/?p=605

Saya juga yakin para penyokong tegar parti-parti yang telah tertutup hati dan mindanya pasti tidak akan bersetuju dengan pendapat Dr Mohd Asri. Walaubagaimanapun saya yakin mereka yang dari kalangan Umat Islam yang sayangkan Islam lebih daripada parti politik dan berfikiran terbuka untuk menerima pendapat orang lain pasti akan turut bersetuju dengan beliau.

Kategori: Islam · fikrah · politik
Tagged: , ,