Ikut Hati Anda

Entries from Ogos 2008

Wang atau Masa?

Ogos 25, 2008 · 4 komen

Yang manakah lebih berharga, wang atau masa? Mungkin jawapannya perlu dilihat kepada situasi.

Baiklah, bayangkan anda mempunyai sebuah kerja yang stabil di KL dan telah pun berkhidmat selama hampir 7 tahun. Akan tetapi seperti insan lain, anda juga inginkan sebuah rumah dua tingkat yang mampu dimiliki, maka pilihan yang ada ialah dengan membelinya di luar kawasan KL. Malangnya dengan sebab itu anda terpaksa bermusafir sejauh 40KM dari rumah untuk ke ofis yang memakan masa perjalanan hampir sejam. Maknanya anda telah menghabiskan 2 jam daripada hidup anda setiap hari di atas jalan. Anda juga terpaksa keluar awal pagi untuk ke ofis, dan bertempur dengan hampir sejuta kenderaan yang berpusu-pusu memasuki pusat bandar. Situasinya sama disebelah petang di mana pertarungan di atas jalan antara pemandu bongkak, pentingkan diri sendiri dan pemandu pengecut dan baik hati berlaku. Selalunya anda juga akan berasa sangat letih apabila sampai di rumah sehingga apa yang terbayang di fikiran anda hanyalah katil. Anda sudah tidak bertenaga untuk melayan kerenah anak-anak, apa lagi mengorbankan tenaga dan masa rehat untuk ke surau.

Nah, bayangkan pula anda mendapat tawaran untuk bekerja di organisasi lain yang lebih dekat dengan rumah anda, kira-kira 15 KM sahaja. Malangnya menawarkan pangkat yang sama dan dengan nilai gaji yang sedikit rendah daripada apa yang anda nikmati sekarang. Akan tetapi anda dapat menjimatkan masa untuk ke tempat kerja, malah jimat petrol. Maka dengan ini anda punya banyak masa untuk keluarga dan agama. Walaubagaimanapun anda tidak pasti dengan nasib anda di organisasi baru, sedangkan anda telah membina jaringan yang cukup utuh di organisasi sekarang sehingga anda masuk lewat pun tiada siapa yang kisah. Risiko di tempat kerja baru sangat merungsingkan fikiran anda.

Apapun, persoalan yang saya utarakan di atas amat sukar untuk di jawab sekiranya anda tidak pernah meletakkan misi atau matlamat hidup. Kegagalan meletakkan matlamat hidup akan menyebabkan anda buntu untuk membuat keputusan.

Jawapan untuk situasi di atas juga perlu dilihat kepada siapa, bujang atau berkahwin, suami atau isteri. Saya telah pun membuat keputusan, sekiranya anda bagaimana?

Kategori: family · rohani · semasa
Tagged: , ,

Perhatikan akhlak anda di dalam penulisan

Ogos 7, 2008 · 4 komen

Berhati-hatilah wahai saudaraku, apa sahaja yang anda tulis di dunia maya ini mencerminkan akhlak anda. Saya tekankan dunia maya kerana semua orang mempunyai peluang untuk menulis di sini, berbanding media cetak.

Baru-baru ni ada ahli baru yang mendaftar di forum Putra-Mahkota.com, malangnya saudara baru ini dengan tiba-tiba sahaja menyerang beberapa posting saya dan sahabat-sahabat lain dengan gaya tulisan yang tidak disenangi. Saya hormati pandangan dan kritikan yang ditulis secara professional dan ‘ilmiyah, malangnya saudara kita ini menulis dengan tujuan untuk merendahkan-rendahkan ‘ilmu ahli-ahli lain.

Di dalam sebuah posting lain pula, saya dipersoalkan oleh seorang ahli lain kerana kononnya mengkritik Hj Nik Abd Aziz dan Hj Abd Hadi. Walhal saya hanya sekadar menghantar sebuah artikel tulisan seorang pemerhati politk yang saya fikirkan mempunyai nilai untuk dibincangkan dan direnungkan. Tambahan pula penulis asal itu tidak sedikitpun mengkritik kedua-dua tokoh ilmuan dan politk itu, sekadar mengingatkan pembaca mengenai budaya mengampu dan taklid buta.

Pengalaman saya bergelumang dengan dunia forum maya, menunjukkan pengkritik yang terlalu emosi di dalam menyampaikan kritikan dan hujjah biasanya sangat taksub dengan satu-satu pemikiran, aliran atau mazhab. Maka padanya, membujur lalu, melintang patah.

Oleh sebab format forum yang ada kalangan menyerupai bilik borak (chatting room), maka penulis biasanya kurang mengambil kira mutu atau kualiti tulisan. Selalunya penulis yang terlalu marah atau terlalu mengikut perasaan (emotional) maka akhlaknya akan ditunjukkan melalui penulisannya yang buruk dan kurang menyenangkan. Apakah mereka ini tidak merasa malu apabila akhlak mereka dipamerkan sebegitu rupa?

Nasihat saya, sebelum anda menulis – bertenanglah dan baca banyak kali tulisan anda. Adakah anda telah merendahkan akhlak anda dihadapan orang ramai?

Kategori: Islam
Tagged: ,