Beberapa minggu lalu saya telah berkesempatan menonton filem “Just Like Heaven” lakonan Reese Witherspoon dan Mark Rufalo. Sebenarnya saya secara kebetulan terjumpa dengan filem ini ketika sedang menyelongkar koleksi VCD adik saya – ketika melawat beliau di rumahnya. Saya bertanya kepadanya mengenai filem ini dan dia memberi jawapan yang positif dan menyarankan agar saya menontonnya.
Setelah saya mencari maklumat mengenai filem ini di internet, tahulah saya bahawa filem ini sebenarnya dikeluarkan pada tahun 2005 (betapa saya tidak mengikuti perkembangan filem). Filem ini juga mendapat komen yang baik daripada beberapa pengunjung Amazon.com.
Saya menontonnya bersama dengan isteri pada satu malam (setelah berjaya menidurkan anak, susah sebenarnya nak suruh dia tidur kalau kami tidak tidur sekali), dan kami berdua berasa puas hati dan seronok.
Filem ini mengisahkan tentang seorang doktor wanita yang kuat bekerja sehingga tiada masa yang diperuntukkan untuk dirinya sendiri. Pada suatu malam ketika dia memandu pulang untuk berjumpa dengan seorang lelaki yang telah diaturkan oleh kakaknya, dia telah mengalami kemalangan yang serius sehingga koma. Di waktu yang lain lelaki yang yang harus dijumpainya telah menyewa rumahnya ketika dia sedang koma. Lelaki ini tidak tahu-menahu mengenai hal doktor wanita ini dan tidak pernah pun berjumpa dengannnya. Di rumah yang disewa inilah roh doktor wanita itu datang mengganggunya dan terjadilah pelbagai aksi lucu.
Filem ini walaupun mempunyai unsur-unsur tahyul, tetapi sebenarnya bukanlah itu objektif dan tumpuan filem ini. Filem romantik-komedi ini juga walaupun mempunyai banyak babak-babak lucu, tetapi tidaklah sebodohnya lawak filem senario atau filem-filem Prof Madya A. Razak.
Mesej daripada filem ini sebenarnya ialah, insan harus mengimbangi antara tuntutan kerjaya dan kehidupan sosial. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan insan akan akhirnya gagal mengecapi kebahagiaan yang sebenar di dalam kedua-duanya sekali (kerjaya dan kehidupan).
Sekiranya anda mencari sebuah filem santai dan menghiburkan serta mempunyai mesej yang sangat baik dan berkesan, luangkanlah sedikit masa untuk menonton filem “Just Like Heaven” – anda pasti terhibur. Lupakanlah kebanyakan filem-filem melayu masa kini yang kononya mempunyai mesej dan kononya kelakar.


0 responses so far ↓
Tidak ada komen buat masa ini...Sila isikan borang dibawah ini.