Berhubung dengan berita kebanjiran kaum hawa yang menguasai IPTA beberapa hari yang lepas, saya ingin memetik kata-kata Dr Yusof al-Qaradhawi di dalam bukunya malamih al-mujtama’ al-muslim allazi nansyuduhu (Terjemahan: Ciri-ciri Unggul Masyarakat Islam Yang Kita Idamkan, Penerbitan Seribu Dinar) di dalam isu apabila wanita mula mengambil pekerjaan lelaki.
Sebelum itu mungkin ada yang tertanya-tanya, apa kaitan kebanjiran wanita di IPTA dengan akibat buruk apabila banyaknya wanita yang mula bekerja? Jawapannya kerana kos yang terlalu tinggi untuk belajar di IPTA biasanya akan memaksa graduan wanita untuk terpaksa bekerja demi membayar hutang semasa belajar dahulu, paling tidak pun – mereka tentu sahaja akan berasa rugi untuk tidak bekerja kerana sudah menghabiskan waktu yang begitu panjang semasa belajar di IPTA.
Sifir mudahnya, kebanjiran kaum wanita yang menguasai IPTA pasti akan mengundang kebanjiran yang sama kaum itu menguasai bidang-bidang kerja kelak.
Mengulas hal ini, Dr Yusof al-Qaradhawi telah memetik sebuah artikel tulisan Anne Rode di dalam bukunya yang telah saya sebutkan tadi,
Adalah sangat memalukan bagi negara Inggeris yang telah menjadikan gadis-gadisnya sebagai kekotoran lantaran terlalu bergaul dengan lelaki. Kenapakah kita tidak berusaha untuk menjadikan anak-anak gadis bekerja dengan kerja-kerja yang sesuai dengan tabiat semulajadinya seperti mengurus rumah dan meninggalkan kerja-kerja lelaki untuk kaum lelaki untuk menjamin kehormatan wanita.
Di tempat lain pula beliau menulis,
- Realitinya, kebanyakan wanita yang bekerja menggunakan khidmat wanita-wanita lain untuk bekerja sebagai pengasuh anak-anak mereka atau menguruskan rumah mereka. Ini bermakna rumah, memerlukan kepada seorang wanita untuk menguruskannya. wanita yang paling baik untuk tugas ini ialah suri serta ratunya berbanding dengan wanita luar yang kebanyakannya tidak diketahui asal-usul, akhlak, pegangan agama, bahasa, pemikiran dan adatnya.
- Wanita yang bekerja mudah menjadi lesu badannya, panas baran dan ia sendiri memerlukan orang lain untuk menenangkannya.
Seterusnya beliau di dalam membincangkan akan bahaya di sebalik kecenderungan wanita melakukan pekerjaan lelaki telah menulis,
Kesibukan wanita melakukan kerja-kerja lelaki serta menggemarinya tanpa batasan akan memberikan kemudharatan dari pelbagai aspek:
(saya hanya ambil beberapa sahaja daripada buku tersebut)
- Memberi kemudharatan kepada wanita itu sendiri: Kerana ia akan kehilangan kewanitaannya serta keistimewaannya, malah rumah serta anak-anaknya akan terabai.
- Memudharatkan anak-anak: kasih sayang, hati dan perhatian seorang ibu tidak akan dapat diganti dengan orang gaji atau pengasuh. Bagaimana mungkin anak-anak akan memperolehinya dari seorang ibu yang menghabiskan waktu siangnya di tempat kerja, sementara apabila dia pulang, dalam keadaan keletihan, kelesuan dan ketegangan. Keadaan fizikal dan psikologinya tidak mengizinkannya untuk memberi didikan yang baik terhadap anak-anaknya.
- Memudharatkan kaum lelaki: Kerana apabila semua wanita bekerja mereka akan mengambil peluang kerja kaum lelaki. Apabila terdapat pengangguran di kalangan kaum lelaki di dalam sesebuah masyarakat, wanita yang bekerja akan lebih memudharatkan mereka.
- Memudharatkan pekerjaan itu sendiri: Kerana wanita banyak bercuti disebabkan halangan-halangan semulajadi yang tidak dapat dielakkan seperti haid, hamil, melahirkan serta menyusukan anak dan seumpamanya. Ini akan menganggu jadual pekerjaan dan produktiviti.
- Memudharatkan akhlak: Sama ada akhlak wanita apabila hilang sifat malunya, akhlak lelaki apabila hilangnya keghairahan lelaki, akhlak generasi akan datang apabila hilangnya didikan semasa kecil malah akhlak masyarakat keseluruhannya apabila mengumpul harta dan menambahkan pendapatan menjadi matlamat utama.
Walaubagaimanapun Dr Yusof al-Qaradhawi juga telah menggariskan panduan di mana wanita harus malah wajib bekerja. Saya juga tidak menafikan kepentingan Doktor Wanita, Pakar Sakit Puan, Jururawat, Guru, dan mana-mana bidang kerja di mana boleh memberikan maslahah kepada kaum wanita amnya. Cuma seharusnya skop pembelajaran dan kerja wanita itu tertumpu kepada bidang yang perlu sahajalah, dan tidak perlu dilebarkan kepada bidang kejuruteraan, komputer, petro-kimia dan lain-lain yang akhirnya akan mengorbankan nilai kewanitaan seperti yang telah disebutkan oleh Dr Yusof Al-Qaradhawi sebelum ini. Saya menyeru, janganlah golongan Muslimat terikut-ikut jejak kumpulan pejuang hak wanita yang membelakangkan agama serta nilai fitrah semula jadi wanita.
Akhirnya sebagai renungan, adakah kita harus bangga dengan kebanjiran wanita di IPTA mengatasi kaum lelaki sekiranya kita tahu akibatnya pada masyarakat nanti adalah sangat buruk? Nilailah dengan akal yang sihat dan hati yang tenang dan bukannya dengan emosi.


3 gerakbalas-gerakbalas so far ↓
Sabarlah // Julai 9, 2008 pada 1:45 pm |
Salam,
Saya antara orang yg sgt bersetuju dgn maksud tulisan di atas. Isteri saya tak bekerja atas pilihan beliau utk menguruskan perihal rumah dan anak-anak. Setelah ditinjau profil tuan penulis, tampaknya isteri tuan ialah seorang yang berkerjaya. Adakah niat di hati utk melaksanakan tp belum tercapai apa yg ditulis di atas? Apa-apa pun semoga kita semua redha dgn ketentuanNya dan mohon drpNya (swt) agar hidup kita berkat spjg masa.
Sedikit perkongsian, kami tidaklah sgt mnghadapi masalah kewangan w/p gaji saya lebih kurang dlm RM3000++ je. Ntahlah, serba serbi semuanya cukup je. Byk perkara agama dpt dijaga dgn baik, alhamdulillah. Jomlah bagi peluang isteri spy x bkerja. Kita bagi duit bulanan skdr trmampu slain blanja rumah pd dia. InsyaAllah akan ada rezeki yg tak disangka2. Semoga hidup bahagia & ceria selalu.
ibnhussin // Julai 10, 2008 pada 1:31 am |
Saya mengakui adalah salah seorang mangsa yang terperangkap di dalam hal ini. Di atas kesedaran ini saya menulis tentang isu ini. Kami telah tersilap perancangan dan hanya sedar apabila sudah agak lewat, walaubagimanapun kami sedang berusaha keras agar kelak isteri tidak perlu bekerja lagi. (memang isteri pulang kerja selalu stress, kasihan saya melihatnya)
Terima kasih di atas perkongsian anta, saya tumpang gembira. Semoga Allah s.w.t melimpahkan rahmat dan menambahkan rezeki kepada keluarga anta.
Sabarlah // Julai 10, 2008 pada 7:39 am |
Salam again,
Semoga kita semua mendapatkan taufiq bg keberlangsungan amal2 yg diperintahNya (swt) spt yg dicontohi oleh nabiNya (saw) & para salaf (r.a. hum), amin. Apa yg dikongsi adalah stkt yg dikecapi. Akan datang itu wallohua’lam.
Di sini saya nk berkongsi kaedah. Mungkin anta ada kaedah trsendiri, namun ini saya ambil drp kbykan kuliah Dr MAZA dan pensyarah2 pngjian Islam UKM. Komitedlah dgn doa2 yg ma’thur drp nabi krn ianya ada jaminan wahyu. Hafazlah surah al-waqi’ah spy mudah langsai sbrg hutang, & amalkan ia setiap hari, jika mampu.
Antara doa yg saya baca stiap kali keluar rumah ialah: “bismillah ‘ala nafsi, wa maali wa diini. Allahuma roddhini biqadhooik, wa barikli fima quddiroli, hatta la uhibba ta’jila ma akkharta wa ta’khira ma ajjalta” – hdith hasan sahih riwayat ibnu Sunni drp Anas bin Malik, kitab al-adzkar Imam Nawawi, bab kesempitan hidup: terjemahan Ibnu Semait PN S’pura, atas saranan Dr Asmadi Sakat pensyarah FPI UKM bhg hadith (terjemahan Ibnu Semait bagus & kbykn hampir kpd maksud asal bhs arab & teks asal kitab turas). Matan asal arab boleh rujuk bukulah.
Hayatilah sikap bertawakkal dlm bermuamalah nescaya ingat Allah itu sentiasa di hati. Beroleh tenang, insyaAllah segalanya kan senang. Sekian skdr menyampaikn perkongsian brbentuk pesanan. wsslm.